Gimnastik: Jern Rong tetap mahu ke Manila walau cedera

Oleh Staff Writer 22 November 2019 43
Gimnastik: Jern Rong tetap mahu ke Manila walau cedera
Tamparan hebat buat skuad gimnastik lelaki negara apabila dilanda krisis kecederaan yang menyaksikan mereka terpaksa melupakan acara kepakaran dalam Sukan SEA Manila 2019.

Paling serius adalah Chau Jern Rong yang mengalami kecederaan lutut kanan dua minggu sebelum saingan Sukan SEA bermula.

Sekalipun mengelak daripada perlu menjalani pembedahan, Jern Rong hanya boleh beraksi dalam acara yang tidak memberi impak kepada bahagian bawah badan.

Ini bermakna dia terpaksa melupakan hasrat mencabar pingat emas dalam acara palang tunggal.

"Saya berasa sangat kecewa dan pada masa yang sama sangat sedih kerana ini kecederaan yang serius dan memerlukan sekurang-kurangnya enam ke lapan minggu untuk pulih.

"Sukan SEA berbaki seminggu sahaja lagi, saya tetap ingin pergi ke Manila dan akan menyertai satu acara dan risiko yang akan diambil tidaklah begitu berat untuk saya," katanya.

Penyertaan Jern Rong dalam Sukan SEA 2019 terhad kepada acara kekuda berpelana.

Bagaimanapun, dia perlu tampil dengan aksi luar biasa untuk menjejak kaki ke podium.

"Saya berasa lebih baik. Saya hanya masuk satu acara tanpa tekanan, ia rutin biasa dan saya akan melakukan yang terbaik."
 

Tentang Penulis

Staff Writer

Komen