Kejuaraan dalam Kejohanan Gimnastik Kebangsaan baru-baru ini menjadi bukti bahawa gimnas lelaki negara, Jeremiah Loo, berupaya untuk melakukan yang terbaik dalam Kejohanan Dunia di Jerman minggu depan.

Selain itu, dia mahu menjadikan kejohanan itu sebagai persediaan terbaiknya sebelum menghadapi Sukan SEA Filipina sebulan kemudian.

Dalam Sukan SEA Kuala Lumpur dua tahun lalu, atlet berusia 22 tahun itu meraih satu pingat emas, satu perak dan satu gangsa.

Dalam Kejohanan Kebangsaan hujung minggu lalu, atlet kelahiran Pilau Pinang itu mendominasi acara individu all around dengan pungutan mata keseluruhan 79.850.

"Sudah pasti ia mengenai pengalaman, kestabilan dan sebagainya.

"Peserta dalam Kejohanan Dunia lebih baik, jadi saya dapat belajar daripada mereka.

"Selepas saya kembali daripada kejohanan itu, saya dapat melakukan sesuatu yang lebih baik," katanya.

Dalam pada itu, jurulatih skuad kebangsaan, Tan Jia En, berpuas hati dengan pencapaian anak buahnya meskipun masih terdapat ruang untuk diperbaiki.

"Jeremiah bermula dengan amat baik dan kemas tetapi ada masalah yang muncul selepas itu.

"Tiga atlet lain juga telah menyertai acara berbeza buat kali pertama dalam kejohanan.

"Saya agak gembira dengan prestasi mereka," katanya.

Empat atlet negara telah mengesahkan tempat ke Sukan SEA Filipina, iaitu Jeremiah, Tan Fu Jie, Chow Jern Rong dan Zul Bahrin Mat Asri.