Tumpuan gimnas negara, Farah Ann Abdul Hadi, kini terarah kepada Sukan SEA Filipina bulan depan selepas merealisasikan impiannya untuk layak ke temasya berprestij dunia, Sukan Olimpik Tokyo 2020.

Gimnas berusia 25 tahun itu mengesahkan kelayakan ke Sukan Olimpik selepas meraih slot dalam Kejohanan Gimnastik Artistik Dunia di Stuttgart, Jerman, hujung minggu lalu untuk mengulangi pencapaian jurulatihnya, Ng Shu Wai, selepas kali terakhir Malaysia mempunyai wakil dalam temasya berkenaan adalah dalam edisi 2004 di Anthens.

"Saya sangat gembira dapat layak ke Sukan Olimpik sebab ini merupakan impian saya sejak kecil lagi dan saya berterima kasih kepada jurulatih, rakan sepasukan serta Persekutuan Gimnastik Malaysia (MGF).

"Kami semua sememangnya memasang impian ini, terima kasih kerana memberikan sokongan kepada saya dan rakan sepasukan. Ini adalah untuk semua rakyat Malaysia," katanya ketika tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), Sepang, malam tadi.

Dalam usaha memantapkan lagi persembahannya, Farah Ann dijangka bakal menjalani persiapan rapi di Amerika Syarikat (AS), namun dia sedia beralih kepada kempen Sukan SEA 2019 terlebih dahulu.

"Kami baru balik dari Jerman, saya akan berbincang semula dengan jurulatih dan persatuan.

"Sasaran kami selepas ini adalah Sukan SEA Filipina, selepas itu kami akan berbincang mengenai (perancangan) tahun depan," katanya lagi.

Begitupun, dia juga tidak menolak untuk menjalani di tempat sendiri kerana berpendapat: "AS mendominasi sukan gimnastik, ramai atlet berlatih di sana.

"Kalau dapat pergi, saya akan berasa seronok tetapi kalau dapat berlatih di bawah bimbingan jurulatih ketika ini sekalipun, tiada masalah buat saya."