Gimnastik: Farah Ann tenang galas harapan emas

Oleh Staff Writer 18 November 2019 260
Gimnastik: Farah Ann tenang galas harapan emas
Sukan SEA sentiasa menjadi pentas bintang muda mencipta nama tetapi kontinjen negara bagi kempen Filipina 2019 akan diperkasakan dengan kudrat seorang Olimpian dan ratu skuad gimnastik artistik wanita, Farah Ann Abdul Hadi.

Dia merupakan antara segelintir atlet negara yang sudah menempah kelayakan ke Tokyo 2020.

Prestij yang dibawa Farah Ann bukan sahaja suntikan semangat buat rakan sepasukan tetapi mencetuskan gerun dalam kalangan pencabar.

"Sejak Kejohanan Dunia, saya sudah mengharungi empat acara dan saya memang bercadang untuk meneruskannya.

"Diharapkan saya meraih pingat. Saya gembira untuk beraksi di Filipina. Dalam masa sama, saya berjumpa ahli fisiologi untuk mengekalkan kecergasan," katanya.

Sejak kali pertama membuat penampilan dalam temasya itu ketika edisi 2011 di Indonesia, atlet berusia 25 tahun itu mula memainkan pengaruh sebagai bintang terbaik Asia Tenggara.

Hanya ketika Singapura 2015 dia mula menikmati tuaian pingat emas dalam acara individu dan juga sebagai satu pasukan.

Saingan dalam temasya Kuala Lumpur 2017 menyaksikannya menyumbangkan tiga emas secara keseluruhan dan dia terus memainkan peranan sebagai sandaran utama.

Kali ini, tuan rumah, Filipina, berhasrat untuk merampas dominasi daripada Malaysia dengan menjadikan sensasi remaja mereka, Kaitlin de Guzman, sebagai pencabar kepada takhta Farah Ann.

"Saingan di Filipina bakal menyaksikan ramai pencabar dari Indonesia dan tuan rumah. Mereka memang semakin hebat tetapi kami hanya mempersiapkan diri bagi menampilkan aksi terbaik."

Tentang Penulis

Staff Writer

Komen