Gimnastik: Farah Ann ceria lunas impian emas 

Oleh Staff Writer 2 Disember 2019 676
Gimnastik: Farah Ann ceria lunas impian emas 
Kehadiran ibu-bapa di Coliseum Memorial Rizal, Manila hari ini membantu ratu gimnas, Farah Ann Abdul Hadi, bagi mendapat pingat emas pertama skuad gimnastik negara apabila mengungguli saingan all around individu.

Atlet berusia 25 tahun berkenaan pernah beraksi dalam Sukan SEA 2015 di Singapura, bagaimanapun hanya mampu meraih perak dan selepas itu, menumpukan kepada dua acara kegemarannya, iaitu palang bertingkat dan senaman lantai.

Namun, dalam Sukan SEA Ke-30 kali ini, Farah Ann melangkaui jangkaan rakyat dengan merangkul emas pertamanya dalam saingan tersebut. 

"Kejayaan ini sangat dekat di hati sebab saya memang dah lama mengimpikan emas ini. 

"Saya sangat berterima kasih kepada ibu-bapa, rakan sepasukan dan jurulatih untuk membolehkan saya meraih pingat ini," katanya.

Tambahnya, keputusan untuk bertanding dalam acara itu hanya diputuskan pada saat-saat akhir dan mengakui kejayaan berkenaan paling istimewa hingga menyentuh hatinya.

"Kami memang sudah membuat perancangan rapi mengenai penyertaan dalam acara all around individu ini dan barisan jurulatih memutuskan saya untuk memburu dua emas. 

"Saya berasa gembira dan turut bertuah memandangkan barisan atlet gimnastik negara hebat-hebat belaka selain dapat bersaing bersama Tan Ing Yueh untuk memenangi pingat."

Farah Ann, yang sudah mengesahkan tiket dalam Sukan Olimpik 2020, mengumpul mata tertinggi dengan 48.050 mata, diikuti atlet Indonesia, Irfanaluthfi Rifda, 47.800 mata dan seorang lagi gimnas Malaysia, Ing Yueh, meraih gangsa dengan 46.900 mata.

Tentang Penulis

Staff Writer

Komen