Hanya beberapa minit selepas atlet wushu, Loh Choon How, menyumbang pingat emas pertama negara dalam Sukan SEA Ke-30, skuad floorball wanita pula memenangi pingat gangsa.

Malaysia mengalahkan tuan rumah, Filipina, atas peraturan ‘golden goal’, selepas kedua-dua pasukan terikat tanpa gol dalam tiga saingan dalam pertandingan menentukan pingat gangsa di UP College Of Human Kinetics Gym.

Ini bermakna pemenang perlu ditentukan menerusi ‘sudden death’ di mana Malaysia mengejutkan tuan rumah melalui gol Nurfarah Syahira Md Yusof untuk membawa pulang pingat gangsa.

Malaysia memulakan kempen dengan dua kekalahan 2-8 ke Thailand dan juara bertahan, Singapura sebelum menang 8-2 menentang Indonesia dan terikat 4-4 dengan Filipina dalam perlawanan pusingan round robin.

Ketika floorball dipertandingkan sebagai acara pingat dalam Sukan SEA Singapura 2015, Malaysia terpaksa pulang dengan tangan kosong kerana hanya tiga pasukan yang bermain.

Floorball mula meraih populariti sejak 1986 di Sweden dan sukan itu kini dimainkan di lebih daripada 80 negara.

Setiap pasukan mempunyai lima pemain dan penjaga gawang dan perlawanan dimainkan dalam tiga saingan dalam tempoh 20 minit.

"Saya memberikan tumpuan untuk menjaringkan gol. Saya yakin kepercayaan dalam kalangan rakan sepasukan membantu memastikan kemenangan," kata Nurfarah.

"Semangat sepasukan meningkatkan kemampuan pasukan Malaysia. Kami cuba memastikan kemenangan serta seri adalah keputusan yang perlu diraih bagi melangkah ke peringkat ini dan saya gembira pasukan negara pulang dengan gangsa," kata kapten negara, Cheah Pei Yi.