Floorball: Misi skuad negara tebus maruah 

Oleh Penulis Jemputan 27 November 2019 139
Floorball: Misi skuad negara tebus maruah 
Skuad floorball lelaki negara tetap berwaspada dengan pasukan Indonesia bagi pertemuan hari ini tatkala Malaysia dalam misi untuk menamatkan kemarau kemenangan dalam Sukan SEA Filipina 2019.

Malaysia mengalami kekalahan kedua berturut-turut, termasuk dibelasah Singapura 2-9, semalam. 

Mereka kini memburu kemenangan bagi menghidupkan peluang untuk merebut sekurang-kurangnya pingat gangsa dalam temasya edisi ke-30 itu, namun tetap berwaspada biarpun lawan mempunyai ranking dunia lebih rendah, iaitu 36, berbanding Malaysia di tangga ke-26.

"Strategi kami tetap sama kerana kami sudah berlatih  corak permainan ini sejak sekian lama. 

"Masalahnya, kali terakhir kami bertemu Indonesia adalah pada 2015. 

"Ia masih menjadi satu tanda tanya, kami mungkin mengejutkan mereka dan begitu juga sebaliknya," kata jurulatih negara, Khor Kuan Yong.

Malaysia dan Indonesia bergelut di tangga tercorot apabila kedua-dua pasukan masih gagal mengutip sebarang mata.

Namun, Malaysia perlu bekerja keras memandangkan kubu mereka dalam dua perlawanan sebelum ini, iaitu menentang Thailand dan Singapura, dibolosi dengan jumlah jaringan yang besar.

"Kami sepatutnya mengalahkan salah satu pasukan itu kerana saya percaya kami adalah lebih baik atau setidak-tidak setaraf dengan mereka."

Tentang Penulis

Penulis Jemputan

Komen