INDONESIA 2 MALAYSIA 8

Skuad floorball wanita negara membawa perkhabaran gembira dari Manila apabila melakar kemenangan pertama dalam kempen Sukan SEA Ke-30 setelah menundukkan Indonesia 8-2 di Gimnasium Universiti Filipina hari ini.


Malaysia dan Indonesia memburu kemenangan dalam pertemuan itu selepas kedua-dua pasukan itu buntu untuk mengutip sebarang mata dalam dua perlawanan terdahulu.

Bagaimanapun, pengendali, Rizal Razman, tidak mahu mendabik dada dengan kemenangan itu, sebaliknya mahu anak buahnya lebih bersedia menjelang pertemuan menentang tuan rumah, Filipina, esok.

"Untuk sekarang, kami sudah memastikan sekurang-kurangnya tempat ketiga atau keempat. Dalam aksi seterusnya, kami akan cuba pemain dan pendekatan yang berbeza," katanya.

Dalam aksi tengah hari tadi, skuad negara bermula dengan baik apabila meledak gol menerusi Nur Syafiqah Mohd Zain sebelum Putri Rosalina Wardani menyamakan kedudukan buat Indonesia.

Namun, skuad kebangsaan tidak berputus asa dengan meledak tiga lagi gol, dua daripadanya oleh Nur Diana Athirah Zulkefly dan satu jaringan daripada Jimun Kuek untuk menjadikan kedudukan 4-1.

Nur Diana menambah derita lawan selepas permainan suku kedua bersambung sebelum Ayu Danita Heristika menjadikan kedudukan 5-2 tetapi Malaysia terus mengganas menerusi Nurfarah Md Yusof dengan gol keenam.

Pertahanan kebangsaan, Cheng Kee, serta Janeter kadir turut meletakkan nama dalam senarai penjaring, sekali gus memberikan kemenangan 8-2 buat skuad bimbingan Rizal itu.

"Kami tidak boleh terlalu yakin kerana Filipina diperkuatkan dengan pemain import dari Sweden. Kami hanya akan cuba yang terbaik dan insya-Allah akan membawa pulang pingat gangsa buat Malaysia," ujar Nur Diana.