Atlet memanah compound negara, Fatin Nurfatehah Mat Salleh, menyifatkan perubahan angin monsun tidak mengganggu rutin hariannya menjelang Kejohanan Memanah Asia di Bangkok bulan depan.

Malaysia sedang mengalami musim tengkujuh susulan perubahan Angin Monsun Timur Laut yang menyebabkan hujan lebat di sekitar Lembah Klang sehingga beberapa atlet negara terpaksa merombak jadual latihan harian mereka.

Buat sukan memanah yang memerlukan kawasan lapang, Fatin Nurfatehah, selaku prospek utama meraih pingat emas dalam Sukan SEA Filipina bulan depan, menegaskan persiapannya tidak terkesan dengan situasi itu memandangkan ia sememangnya sudah diramalkan.

"Saya tidak risau sebab saya rasa setiap sesi latihan yang kami adakan, kami buat dengan betul-betul.

"Kami sedar akan hujan pada sebelah petang, jadi kami tidak ada banyak masa pada sebelah petang.

"Tetapi setakat ini Alhamdulillah.

"Tiada yang merisaukan saya," katanya.

Fatin Nurfatehah memenangi Anugerah Olahragawati Sabah buat kali ketiga berturut-turut di Kota Kinabalu, Selasa lalu.

Kejayaan itu menjadi pemangkin buat atlet berusia 28 tahun berkenaan untuk mempertahankan pingat emas acara berpasukan wanita dan berpasukan campuran yang dimenanginya dalam edisi di Kuala Lumpur dua tahun lalu.

"Saya tidak mahu meletakkan tekanan sebab keadaan di Filipina agak susah untuk dibaca.

"Sebelum ini, kami telah pergi ke sana untuk perlawanan ujian.

"Ia mempunyai kawasan yang agak lapang, berkemungkinan akan hujan dan anginnya juga tidak menentu," tambahnya.