Skuad sukan elektronik negara tetap optimis menjelang Sukan SEA Filipina bulan depan walaupun beberapa pemain utama acara Dota 2 tidak dapat menyertai temasya dwitahunan itu.

Persatuan Sukan Elektronik Malaysia (ESM) menyasarkan tiga pingat daripada enam acara yang dipertandingkan di Manila nanti.

Bagaimanapun, sasaran bagi acara Dota 2 tampak samar apabila beberapa pemain utama tidak dapat menyertai Sukan SEA kerana mempunyai kejohanan lain yang bakal berlangsung 1 hingga 6 Disember depan.

Ekoran itu, pengurus pasukan e-sukan negara, Firdaus Hashim, tetap optimis dengan sasaran bagi acara Dota 2 kerana kejohanan tersebut juga memberi kesan terhadap negara-negara lain.

"Pemain profesional dari Filipina juga akan terlepas saingan Sukan SEA kerana menghadapi kejohanan yang telah dijadualkan berlangsung Disember nanti," kata Firdaus.

Namun, acara Dota 2 masih mampu melakar kejutan apabila bekas pemain nombor tiga dunia bagi Dota 2, Khoo Chong Xin, memilih untuk menyertai Sukan SEA.

"Buat masa ini, saya masih lagi berehat daripada saingan utama dan mahu mewakili Malaysia untuk Sukan SEA. Saya juga berasakan ini adalah pentas untuk menguji bakat-bakat baru bagi menyertai kejohanan akan datang," katanya.