Semangat skuad sukan elektronik negara berkobar-kobar apabila kali pertama membuat penampilan dalam saingan Sukan SEA.

Sebanyak enam pingat emas ditawarkan apabila ia buat kali pertama dianjurkan sebagai acara kompetitif dalam Sukan SEA Filipina dan ini juga kali pertama e-sukan dianjurkan sebagai acara berpingat dalam temasya utama selepas dianjurkan sebagai pertunjukan ketika Sukan Asia 2018.

Enam permainan itu ialah Dota 2, Starcraft 2, Tekken 7, Hearthstone, Mobile Legends: Bang Bang dan Arena of Valor.

Skuad sukan elektronik negara jelas ingin melakar sejarah apabila harus mengubah persepsi buruk sesetengah pihak terhadap sukan itu.

"Gementar namun saya tetap teruja beraksi dalam temasya kali ini. Sebelum ini, kami bertanding dalam negara dan kali ini membawa mewakili Malaysia di pentas antarabangsa," kata atlet negara, Mohd Fariz Zakaria.

"Penampilan dalam saingan Sukan SEA ini merupakan pengalaman yang diimpikan oleh setiap atlet negara dan akhirnya ia dipertandingkan dalam temasya ini," kata pengurus skuad negara, Firdaus Hashim.

Skuad e-sukan negara menyasarkan satu emas melalui permainan Hearthstone dan lima gangsa menerusi permainan lain.