Ketua jurulatih skuad hoki dalam dewan wanita negara, Muhammad Dhaarma Raj Abdullah, mengambil langkah drastik untuk memanggil tujuh pemain skuad hoki padang untuk menyertai kem kebangsaan bagi membantu misi memburu pingat emas dalam Sukan SEA Filipina, November depan.

Pengendali baru itu mengadakan sesi latihan pertama selepas dilantik secara rasmi semalam.

Dia akan memanggil tujuh pemain hoki padang yang tidak terlibat dengan liga di Eropah dan Kejohanan Piala Razak untuk mengadakan aksi persahabatan menentang skuad sedia ada.

Ia sebagai proses pemilihan bagi membentuk 12 pemain yang akan dibawa ke Filipina.

"Pemain-pemain yang sedang berada di luar negara seperti Farah Ayuni (Yahya), kami sudah pasti memerlukan keupayaannya selaku penjaga gol terbaik di Asia.

"Pemain-pemain yang sedang berada di Jerman juga akan pulang pada 15 Oktober depan.

"Apabila mereka pulang nanti, masih ada sebulan setengah sebelum Sukan SEA," katanya.

Turut dipanggil ialah kapten skuad hoki dalam dewan wanita Sukan SEA Kuala Lumpur 2017, Nor Izaidah Ibrahim.

Begitu juga dengan empat pemain yang akan berlepas ke Itali, Ahad ini untuk menyertai liga negara itu.

"Saya akan melakukan yang terbaik dan cuba membantu pasukan mencapai sasaran yang dikehendaki dalam Sukan SEA," kata Nor Izaidah.