Perseorangan muda negara, Lim Chong King, berharap prestasinya musim ini mampu meraih kepercayaan jurulatih untuk dipertaruhkan dalam acara berpasukan menjelang Sukan SEA Filipina hujung bulan ini.

Dia meraih kejayaan pertamanya di peringkat antarabangsa musim ini dalam Terbuka Hellas, Ogos lalu sebelum menempah tempat ke pentas akhir Kejuaraan Siri Antarabangsa Sydney, dua bulan lalu tetapi tewas kepada Yusuke Onodera dari Jepun.

Prestasinya yang tampak semakin memberangsangkan itu membuatkannya mengidam untuk membantu Malaysia meraih mata di Filipina nanti.

"Persiapan saya untuk Sukan SEA banyak daripada fizikal dan kekuatan kerana saingan di sana melibatkan pemain senior. Jadi, saya perlu tingkatkan aspek ini," katanya.

Selain Chong King, Persatuan Badminton Malaysia (BAM) turut menyenaraikan seorang lagi bakat muda, Aidil Sholeh Ali Sadikin.

Aidil Sholeh bersedia untuk menghadapi Sukan SEA pertamanya selain bertekad untuk membalas kepercayaan BAM yang memberi peluang kepadanya membantu negara meraih keputusan positif.

"Kalau mereka turunkan saya, kami perlu lebih bersedia. Saya tidak boleh memandang remeh dan perlu lebih sabar selain tidak terburu-buru ketika beraksi," katanya.