Pemain perseorangan remaja, Lim Chong King, berharap prestasinya sepanjang musim ini dapat meyakinkan barisan kejurulatihan skuad badminton negara untuk dipertaruhkan dalam acara berpasukan Sukan SEA Filipina hujung bulan ini.

Pemain muda itu meraih kejuaraan peringkat antarabangsa pertamanya dalam Kejohanan Badminton Terbuka Hellas di Greece, Ogos lalu sebelum tewas kepada pemain Jepun, Yusuke Onodera, dalam final Siri Antarabangsa Sydney sebulan kemudian.

Dengan prestasinya yang semakin menyerlah, dia mahu membantu Malaysia dalam temasya di Manila itu.

"Persiapan saya menjelang Sukan SEA kebanyakannya melibatkan aspek fizikal dan tenaga.

"Lawan dalam Sukan SEA semuanya senior, jadi saya perlu meningkatkan diri.

"Saya rasa ia bergantung kepada keputusan saya dalam kejohanan berikutnya.

"Jika keputusan saya baik, peluang itu akan lebih besar," katanya.

Selain Chong King, Persatuan Badminton Malaysia (BAM) turut menyenaraikan seorang lagi perseorangan muda, Aidil Sholeh Ali Sadikin.

"Kalau mereka (barisan kejurulatihan) menurunkan saya, saya perlu lebih bersedia.

"Saya tidak boleh meremehkan perkara itu kerana saya akan mewakili Malaysia.

"Saya perlu lebih bersabar di dalam gelanggang dan tidak terburu-buru untuk mematikan bola (bulu tangkis)," katanya.