Ketelusan daripada persatuan sukan menjadi faktor penting buat kontinjen Sukan SEA negara dalam misi memuktamadkan sasaran yang bakal mencabar pencapaian terbaik negara ketika menyertai penganjuran temasya di luar Malaysia.

Misi bagi kempen temasya Filipina 2019 akan diperhalusi menerusi Bengkel Penetapan Sasaran Pingat yang berlangsung hari ini dan esok.

Menerusi program ini, persatuan sukan yang terlibat dalam temasya edisi ke-30 itu akan menyerahkan laporan berhubung prospek emas mereka.

Atas dasar itu, chef-de-mission (CDM) negara, Datuk Megat Zulkarnain Omardin, menegaskan adalah penting buat persatuan sukan untuk telus dalam menyampaikan maklum balas tatkala kemahuan kontinjen adalah untuk mencabar pencapaian di Korat, Thailand, pada 2007 yang menyaksikan Malaysia membawa pulang 68 emas, 52 perak dan 96 gangsa.

"Mungkin ada persatuan yang tidak sebut (sasaran pingat yang sebenar) kerana tidak mahu terlalu optimis.

"Misalnya ada persatuan yang hanya menetapkan satu emas sedangkan sedar mampu memenangi tiga emas. (Ini berlaku) supaya apabila mereka mampu memenangi lebih daripada satu, maka mereka boleh mengatakan (pencapaian) mereka melebihi sasaran.

"Kami juga ada memasang strategi bagi mengatasi rekod jumlah pungutan emas di luar Kuala Lumpur.

"Ini sesuatu yang kami sasarkan dan ia boleh (dicapai)," katanya di Kelab Golf Kinrara, Puchong, hari ini.