CDM mohon maaf atas kegagalan capai 70 emas 

Oleh Staff Writer 11 Disember 2019 2218
CDM mohon maaf atas kegagalan capai 70 emas 
Chef-de-mission (CDM) negara, Datuk Megat Zulkarnain Omardin, mengakui kegagalan menepati sasaran 70 pingat emas dalam Sukan SEA Filipina menerusi sidang media rangkuman prestasi keseluruhan prestasi kontinjen Malaysia hari ini. 

Sehubungan itu, beliau selaku ketua kontinjen negara memohon maaf kepada rakyat Malaysia atas kegagalan berkenaan pada hari terakhir temasya yang menyaksikan Malaysia menamatkan cabaran dengan 56 emas, 58 perak dan 71 gangsa serta berkesudahan di tangga keenam sambil tuan rumah, Filipina, muncul juara keseluruhan dengan 149 emas. 

Beliau menggariskan beberapa punca atas kegagalan berkenaan, yang ditetapkan ketika seminggu sebelum temasya, iaitu dalam Perhimpunan Akhir Kontinjen Negara bagi temasya edisi ke-30 itu.

Faktor pertama yang ditekankan Megat Zulkarnain adalah membabitkan sikap terlalu yakin.

"Beberapa persatuan seperti pelayaran dan boling tenpin menetapkan sasaran tinggi (berdasarkan) temasya atau pertandingan yang telah disertai.

"Yang kedua, faktor sukan baru. Mereka tiada pengalaman dan tiada rekod pencapaian lalu. Ia ditentukan 100 peratus ketika pembentangan persatuan," katanya. 

Dalam masa yang sama, beliau turut mempersoalkan mutu pengadilan dan keputusan berat sebelah, misalnya kontroversi yang melibatkan atlet 110m lari berpagar negara, Rayzam Shah Wan Sofian, serta  atlet gimrama negara, Izzah Amzan. 

Logistik juga dipercayai menjadi punca yang merencatkan pemburuan emas negara, khususnya skuad pelayaran yang memburu empat emas. 

"Bagi pelayaran, atlet negara tertangguh selama tiga jam sehingga tidak dapat turun berlatih," katanya lagi sambil berterima kasih kepada Majlis Sukan Negara (MSN), Institut Sukan Negara (ISN) dan Majlis Olimpik Malaysia (MOM) kerana memberikan sokongan sebanyak 200 peratus. 

Beliau menyimpulkan temasya kali ini dengan berkata, "(Kadangkala) Malaysia bukan seperti berlawan dengan negara tuan rumah tetapi negara lain (atlet naturalisasi). 

"Perjuangan atlet negara tidak berakhir di sini, masih ada ruang dan peluang untuk atlet dipersiapkan untuk menghadpai kejohanan besar."



 

 

Tentang Penulis

Staff Writer

Komen