"Kami pergi untuk menang."

Ketelusan dan komitmen daripada persatuan sukan sepanjang Bengkel Penetapan Sasaran Pingat sempena Sukan SEA Filipina hujung bulan ini, memberi gambaran jelas bahawa kontinjen negara mampu mengatasi pencapaian di Korat, Thailand, pada 2007.

Ketelusan daripada persatuan sukan antara faktor penting buat kontinjen Sukan SEA dalam misi mencabar pencapaian terbaik negara ketika menyertai penganjuran temasya itu di luar Malaysia.

Selepas Bengkel Penetapan Sasaran Pingat di Kelab Golf Kinrara selama dua hari itu yang berakhir hari ini, Chef-de-Mission negara (CDM), Datuk Megat Zulkarnain Omardin, telah mendapat gambaran jelas mengenai jumlah pingat yang mampu diraih Malaysia, namun hanya akan diumumkan oleh Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman, 21 November ini.

"Tiada satu jenis sukan pun yang berkecuali dalam membentangkan (sasaran pingat) kepada kami dan kami juga berpeluang untuk bertanya apakah sebabnya seseorang atlet itu diletakkan sasaran," kata Megat Zulkarnain dengan Malaysia akan membabitkan seramai 786 atlet, iaitu jumlah terbesar penyertaan di luar Kuala Lumpur.

Dalam temasya dwitahunan itu, sebanyak 76 emas yang dimenangi dalam Sukan SEA 2017 di Kuala Lumpur akan dipertandingkan manakala 69 emas lagi tidak akan dipertandingkan.

"Kami boleh berasakan ada sedikit harapan kerana jumlah ini menunjukkan tanda-tanda ia boleh mengatasi pencapaian di Korat," tambahnya.

Dalam Sukan SEA Korat, kontinjen negara membawa pulang 68 emas, 52 perak dan 96 gangsa.