Biarpun gagal meraih podium, dua atlet catur negara, Nur Nabila Azman Hisham dan Nur Najiha Azman Hisham berpuas hati dengan persembahan pertama mereka dalam acara blitz Sukan SEA Filipina.

Nabila menjelaskan ia merupakan keputusan terbaiknya dalam acara individu selepas menamatkan saingan di kedudukan kelima dengan mengumpul lima mata manakala adiknya, Najiha, yang pernah menyumbang gangsa -- melalui acara standard campuran dalam edisi 2011 di Indonesia -- hanya mencatat dua mata di kedudukan kelapan.

Pasangan adik-beradik yang membuat penampilan ketiga sejak berusia 12 tahun dalam temasya dwitahunan itu menganggap cabaran di Filipina menawarkan saingan yang lebih sukar.

"Kami hadir ke Sukan SEA sebagai bukan pilihan namun berjaya menamatkan saingan dalam kelompok lima terbaik dan ia merupakan pencapaian terbaik kami," kata Nabila.

"Kali ini, saya bersaing dalam acara blitz dan saya masih belum mahir kerana ketika Sukan SEA Palembang 2011, saya berjaya menang (pingat gangsa dalam regu campuran standard) yang membabitkan tempoh saingan yang panjang," tambah Najiha.