Pengurus pasukan catur negara, Muhammad Firdaus Ismail, menagih sokongan daripada Majlis Sukan Negara (MSN) selepas berjaya membuktikan pencapaian cemerlang dalam Sukan SEA Filipina.

Skuad catur negara melakar kejutan dengan menyumbang satu pingat emas melalui Yeoh Li Tian dalam acara rapid chess apabila menewaskan lawan berstatus ‘grand master’.

Kejayaan berkenaan sangat bermakna bagi mereka kerana ia merupakan emas pertama buat skuad catur sejak acara itu dipertandingkan di pentas Asia Tenggara.

Firdaus turut menganggap sokongan daripada pihak MSN amat bermakna bagi mereka dalam menawarkan lebih pendedahan dan latihan lengkap kepada barisan atlet negara.

Sebelum ini, skuad catur negara hanya disandarkan harapan untuk mengutip satu pingat.

"Sepanjang (penyertaan dalam) Sukan SEA, ini kali pertama kami dapat emas.

"Saya berharap (selepas ini akan mendapat) sedikit dana daripada MSN dan Majlis Olimpik Malaysia (MOM) untuk menghantar atlet-atlet kami (bertanding) di luar negara," katanya.