Kapten skuad bola sepak B-22 negara, Adam Nor Azlin, menafikan ketiadaan Safawi Rasid menjadi punca Malaysia terkandas awal dalam Sukan SEA Filipina.

Ketika ramai berpendapat ketiadaan bintang Johor Darul Ta'zim (JDT) itu menjadi penyebab skuad negara hilang taring, Adam segera menafikan perkara itu dengan menegaskan kecemerlangan setiap pasukan tidak bergantung kepada sebarang individu.

"Semua pemain mempunyai kriteria yang tersendiri.

"Jadi, saya harap kami tidak hanya bergantung kepada seorang atau dua pemain sahaja.

"Bagi saya, semua pemain Malaysia boleh bermain untuk negara.

"Jadi, tiada sebab untuk kita meletakkan segala bebanan kepada satu bahu sahaja," katanya.

Walau apa jua jawapan Adam, hakikatnya ketiadaan Safawi benar-benar dirasai dengan pasukan negara tampak bergelut dalam setiap perlawanan

Dalam pada itu, penjaring gol tunggal skuad negara dalam perlawanan menentang Kemboja semalam, Quentin Cheng, mengakui sukar untuk mendapatkan kepercayaan ketua jurulatih, Datuk Ong Kim Swee, dan hanya mendapat peluang itu ketika skuad negara sudah ketinggalan tiga gol kepada Kemboja.

"Saya tidak tersenarai dalam tiga perlawanan pertama, jadi saya amat gembira apabila diturunkan dalam perlawanan keempat.

"Ia pencapaian yang besar buat saya memandangkan kedua-dua orang tua saya ada di sini untuk melihat saya beraksi.

"Jadi, mereka amat berpuas hati," katanya.