Timbalan Presiden Persatuan Kanu Malaysia (MASCA), Datuk Michael Wong, terkilan dengan tindakan tuan rumah yang masih berahsia dengan spesifikasi bot tradisional yang bakal digunakan biarpun Sukan SEA Filipina tinggal kurang sebulan sahaja sebelum berlangsung.

Malaysia bakal menyertai enam acara di Filipina nanti bagi acara lumba bot tradisional, namun sehingga kini masih belum ada maklum balas daripada Filipina mengenai spesifikasi bot khusus bagi acara 500 meter empat sepasukan lelaki.

Kelazimannya acara membabitkan sukan air dalam temasya sukan besar, pasukan bertanding tidak akan membawa kelengkapan seperti bot dan pendayung kerana isu logistik, sebaliknya menggunakan kemudahan yang disediakan tuan rumah.

Kerisauan Michael berasas dengan kemungkinan bot yang bakal disediakan tuan rumah tidak bersesuaian serta tidak menepati ciri-ciri ditetapkan Persekutuan Kanu Antarabangsa (ICF).

"12 dan 22 sudah disahkan. Cuma bot empat masih belum disiapkan dan sama ada acara itu diteruskan, kami masih belum dimaklumkan lagi," katanya.

Michael yang turut bertindak sebagai pengurus skuad bot tradisional ke Sukan SEA menjelaskan perkara itu memberi kesan kepada kem negara untuk mengatur strategi.

Skuad negara akan berlepas ke Zhaoqing, China esok untuk kem latihan selama 18 hari dengan latihan di bawah bekas jurulatih kebangsaan China, Lyu Changsong.

"Sasaran pingat akan diumumkan selepas pulang daripada latihan di China tetapi podium masih lagi ada, namun tidak dapat memutuskan secara terperinci."