Skuad negara wajar diberi pujian apabila memperbaharui catatan terbaik kebangsaan untuk menduduki tangga keempat saingan bot tradisional 200 meter 12 tempat duduk lelaki Sukan SEA Filipina hari ini.

Pendayung negara bangkit daripada kekalahan peringkat saringan untuk merebut empat tempat final dalam repechage.

Beraksi di Teluk Subic, skuad kendalian jurulatih dari China, Lau Changsong, itu memberi tentangan sengit kepada gergasi Asia, Indonesia, Thailand selain Myanmar untuk berpuas hati dengan tangga keempat hasil catatan 46.022 saat.

Catatan itu lebih baik berbanding ketika Sukan Asia Indonesia, 54.408s, tetapi tiada rekod kebangsaan dalam mendayung kerana faktor air, angin dan kualiti bot.

Namun, ia membuktikan komitmen tinggi pendayung negara yang mengatasi pelbagai masalah sebelum datang ke Filipina.

"Alhamdulillah, kami telah mara ke final dan mencipta sejarah memecahkan rekod kebangsaan. Selamat maju jaya untuk saingan esok," kata kapten negara, Mohd Noh Parmin.

Keputusan final bot tradisional 200m 12 tempat duduk lelaki:

Indonesia - 43.589s
Thailand - 43.987s
Myanmar - 44.859s
Malaysia - 46.022s