Reputasi skuad boling tenpin negara di pentas Asia Tenggara tercalar apabila bukan sahaja gagal mencapai sasaran empat pingat emas Sukan SEA kali ini, malah dalam masa sama tidak dapat mempertahankan kedudukan juara keseluruhan bagi acara itu.

Skuad boling tenpin negara hadir di Manila dengan harapan yang tinggi berdasarkan reputasi mereka.

Tuan rumah, Filipina menyenaraikan sembilan acara sahaja untuk temasya kali ini dengan Malaysia mengidam untuk mendapatkan empat emas.

Bagaimanapun, pemain negara berdepan halangan sukar untuk mencapai misi itu, namun tetap berpuas hati apabila Timmy Tan dan skuad empat sepasukan lelaki membutirkan kilauan emas.

Skuad wanita yang dibarisi Shalin Zulkifli, Esther Cheah, Sin Li Jane dan Siti Safiyah Amirah Abdul Rahman pula bergelut dengan percubaan terbaik mereka menerusi Safiyah dalam acara step ladder dengan menggondol perak, begitu juga empat sepasukan wanita.

"Walaupun kami tidak mencapai sasaran, kami tetap berpuas hati dengan persembahan atlet negara," kata ketua jurulatih negara, Holloway Cheah.

Ia sekali gus menyaksikan Malaysia gagal mempertahankan kejuaraan keseluruhan acara boling tenpin, dengan Indonesia mengunggulinya apabila memperoleh keseluruhan empat pingat emas.

Banyak faktor mendorong kepada kegagalan skuad boling tenpin negara kali ini dengan rata-rata pemain mengakui tidak selesa dengan keadaan permukaan lorong yang memberi kesan kepada balingan mereka.

"Kami telah melakukan yang terbaik dalam saingan sepasukan, namun kami tetap ketinggalan tipis kepada pasukan lawan," kata Siti Safiyah Amirah.

"Saya berpuas hati dengan persembahan kali ini apabila meraih dua pingat emas. Namun tetap hadir kekecewaan kerana gagal menampilkan persembahan yang terbaik," kata Rafiq.