Ratu boling tenpin negara, Shalin Zulkifli, berpeluang mencabar rekod pungutan pingat emas peribadi Sukan SEA paling banyak apabila sah disenaraikan bagi kempen Filipina 2019 akhir bulan ini.

Bekas perenang sensasi dan timbalan chef-de-mission (CDM) Sukan SEA Filipina 2019 negara, Nurul Huda Abdullah, memegang rekod itu dengan 22 pingat emas.

Shalin tidak jauh ketinggalan menerusi catatan 20 pingat emas dengan kali terakhir memenangi tiga emas dalam Sukan SEA Kuala Lumpur 2017.

Atlet veteran itu hampir sahaja diketepikan daripada kuartet ke Filipina susulan prestasi turun naik sepanjang 2019.

Ini sebelum dia menyumbang dua pingat emas dalam Kejohanan Asia di Kuwait minggu lalu menerusi acara individu dan trio.

"Sebelum ini, saya telah menerima jika tidak tersenarai ke Sukan SEA kerana aksi kurang konsisten. Tetapi saya berjaya menampilkan beberapa keputusan positif dan kini kembali tersenarai," kata Shalin.

Untuk mengatasi rekod Nurul Huda, Shalin memerlukan bantuan rakan lain bagi acara berpasangan dan berpasukan selain acara perseorangan.

Tiga lagi atlet yang membentuk skuad wanita ke Sukan SEA Filipina adalah Esther Cheah, Sin Li Jane dan Siti Safiyah Amirah Abdul Rahman.

"Bukan mudah mengatasi rekod Nurul Huda dalam Sukan SEA tetapi sasaran utama kami adalah meraih pingat emas sebanyak mungkin untuk kontinjen Malaysia," katanya lagi.