Boling tenpin: Rafiq simbol inspirasi kontinjen negara

Oleh Bernama 21 November 2019 29
Boling tenpin: Rafiq simbol inspirasi kontinjen negara
Pemilihan sebagai pembawa Jalur Gemilang dalam Sukan SEA Ke-30 di Filipina penghujung bulan ini jelas membakar semangat pemain boling tenpin elit negara, Muhammad Rafiq Ismail, untuk melakar keputusan positif.

Juara perseorangan lelaki dalam Kejohanan Dunia 2018 itu berkata dia berasa gembira dan teruja dipilih untuk membawa Jalur Gemilang dalam kalangan 773 orang atlet yang menyertai Sukan SEA kali ini.

"Saya bangga membawa bendera Malaysia ke Sukan SEA dan menjadikan ia sebagai satu motivasi untuk saya lebih fokus dalam persembahan saya di Manila kelak," katanya ketika ditemui selepas majlis penyerahan bendera sempena Perhimpunan Akhir Kontinjen Malaysia ke Sukan SEA 2019 di Hotel Tenera, Bangi hari ini.

Majlis itu disempurnakan Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman, serta turut dihadiri timbalannya, Steven Sim Chee Keong.

Sementara itu, Rafiq menyasarkan untuk meraih sekurang-kurangnya satu emas daripada empat acara yang disertainya.

Anak jati Kuala Lumpur itu akan mengambil bahagian dalam acara perseorangan, beregu, beregu campuran serta acara berpasukan.

"Saya menyasarkan emas dalam acara berpasukan tapi kalau dapat (emas) dalam acara lain, itu merupakan satu bonus bagi saya.

"Saya tidak mahu meletakkan tekanan kepada diri sendiri kerana saya mahu kekal fokus dalam saingan kali ini,” jelasnya sambil memaklumkan kehadiran pemain wanita veteran , Shalin Zulkifli, membakar semangat dirinya dalam misi membantu skuad negara meraih keputusan positif dalam temasya dwitahunan itu. 

Rafiq berkata skuad boling tenpin negara kini giat menjalani latihan di Pusat Boling, Endah Parade, memandangkan lorong permainan dan "oiling pattern" di venue berkenaan adalah hampir sama dengan Pusat Boling Starmall EDSA Shaw di Manila yang akan menjadi venue pertandingan Sukan SEA dari 3 hingga 8 Disember ini.

Atlet berusia 22 tahun itu menambah skuad boling tenpin negara akan berlepas ke Manila pada 29 November ini bagi menyesuaikan diri dengan venue pertandingan sebelum menghadapi saingan sebenar yang bakal membuka tirai 3 Disember ini.

Sebagai rekod, Rafiq meraih tiga emas dan satu perak dalam edisi 2015 di Singapura dan dua emas dan satu perak dalam Sukan SEA Kuala Lumpur 2017.

-- BERNAMA

Tentang Penulis

Bernama

Komen