Kongres Boling Tenpin Malaysia (MTBC) masih berteka-teki siapa atlet yang akan mewakili negara ke Sukan SEA Filipina yang membuka tirai akhir bulan depan.

Bagaimanapun, Chef-de-Mission (CDM) ke Sukan SEA, Datuk Megat Zulkarnain Omardin, berkata beliau menerima 'alasan' yang diberi pihak pengurusan sukan itu, yang dilihat menjadi lubuk emas buat kontinjen negara.

Katanya, pemilihan atlet tenpin boling masih belum dimuktamadkan merupakan antara strategi persatuan bagi memastikan atlet berada di tahap prestasi tertinggi untuk membolehkan mereka terpilih ke Filipina.

"Saya sudah dapat penjelasan daripada pengurus pasukan kenapa strategi ini digunakan dan kami berpuas hati. Ada beberapa perkara yang mesti mereka fikir. Mereka akan menamakan atlet paling lewat sebulan sebelum sukan SEA bermula.

"MTBC mempunyai asas yang kukuh untuk membolehkan mereka mengkaji kekuatan pihak lawan dan yang paling penting untuk setiap pemain meningkatkan serta mengekalkan prestasi sedia ada," katanya selepas mengadakan lawatan persiapan atlet sukan boling tenpin di Sunway Megalanes, Bandar Sunway, hari ini.

Megat Zulkarnain berkata pihaknya bersetuju dengan pendekatan yang diambil MTBC memandangkan sukan tersebut sentiasa menyerlah dalam kejohanan besar sebelum ini.

MTBC sebelum ini mengumumkan sasaran empat pingat emas daripada sembilan acara yang akan dipertandingkan dalam temasya dwitahunan itu dari 30 November hingga 11 Disember depan.

Sementara itu, Setiausaha Agung MTBC yang juga pengurus pasukan, Maradona Chok, berkata pihaknya telah menyerahkan senarai pendek atlet yang dijangka ke Filipina kepada Majlis Olimpik Malaysia (MOM).

"Kami sudah menyerahkan senarai pendek, namun pemilihan sebenar hanya akan dilakukan selepas Kejohanan Asia kerana ini adalah strategi kami untuk memastikan atlet berada di tahap prestasi terbaik mereka.

"Kami tidak mahu bila sudah umum pasukan Sukan SEA, mereka tidak boleh fokus dalam kejohanan lain. Kejohanan Asia juga satu kejohanan yang besar, begitu juga dengan Piala Dunia AMF Qubica," katanya.

Bagaimanapun, sebelum ini MTBC telah mengumumkan juara dunia 2018, Muhammad Rafiq Ismail dan Sin Li Jane, bakal membawa cabaran negara dalam Sukan SEA Filipina manakala senarai tiga atlet wanita dan tiga atlet lelaki akan diumumkan kemudian.

Sebagai persediaan ke Filipina, MTBC memutuskan untuk menghantar pemenang dua pingat emas Kejohanan Dunia Lelaki 2018, Adrian Ang, dan pemenang pingat emas berpasukan Kejohanan Dunia 2017, Natasha Roslan, untuk mewakili negara dalam Piala Dunia yang akan berlangsung dari 14 hingga 24 November ini di Bandar Sukan Jakabaring, Palembang.

Dalam Kejohanan Asia yang akan diadakan Kuwait dari 20 hingga 30 Oktober ini, skuad lelaki akan diwakili Rafiq Ismail, Ahmad Muaz Fisol, Tun Hakim Tun Hasnul Azam, Timmy Tan Chye Chern, Syafiq Ridhwan Abdul Halik dan Muhammad Hafiz Zainuddin.

Skuad wanita pula akan menampilkan pemain boling veteran, Shalin Zulkifli, di samping Sin Li Jane, Siti Safiyah Amirah Abdul Rahman, Esther Cheah, Syaidatul Afifah Badrul Hamidi and Nur Syazwani Sahar.

-- BERNAMA