Skuad boling tenpin negara memperoleh emas kedua dalam Sukan SEA Filipina apabila gandingan Rafiq Ismail, Tun Ameerul Luqman Al-Hakim Tun Hasnul Azam, Ahmad Muaz Fishol dan Tan Chye Chern, mengungguli acara empat sepasukan di Starmall EDSA-Shaw, Manila hari ini.

Skuad negara beraksi tekal untuk mengumpulkan 4,980 mata, berkelebihan 43 mata di depan pasukan tuan rumah, Filipina, yang meraih perak.

Gangsa pula menjadi milik Thailand yang mengumpulkan 4,896 jatuhan pin.

"Lorong di sini agak mencabar tetapi kami berkomunikasi dengan baik dan berjaya melakukannya.

"Saya amat gembira dan teruja kerana ia merupakan penampilan pertama saya dalam Sukan SEA," kata Tun Ameerul Luqman.

Sementara itu, dalam kategori wanita, Shalin Zulkifli, Esther Cheah, Sin Li Jane dan Siti Safiyah Amirah Abdul Rahman, terpaksa berpuas hati dengan pingat perak.

Gandingan negara itu sekadar memungut 4,803 jatuhan pin untuk akur kekurangan 30 pin di belakang pemenang emas, Singapura.

Pasukan tuan rumah, Filipina, pula meraih gangsa dengan 4,735 mata.