Kekalahan dalam Kejohanan Boling Wanita Dunia bulan lalu memberi pengajaran kepada atlet negara, Sin Li Jane, untuk memantapkan lagi permainan menjelang Sukan SEA Filipina, November depan.

Selepas aksi menghampakan di Las Vegas, Amerika Syarikat, pengajaran yang diperoleh Li Jane menjadi pemangkin semangat untuknya sebelum menjuarai Masters Divisyen Terbuka Stepladder, Kejohanan Boling Terbuka Antarabangsa Sarawak, minggu lalu.

Baginya, setiap kemenangan dan kekalahan yang dilalui memberi pengajaran bagaimana untuk memantapkan lagi prestasi sehingga bermula misi utamanya, iaitu mencapai sasaran dalam Sukan SEA Filipina.

"Setiap kejohanan yang disertai, kami belajar sesuatu daripadanya kerana di peringkat dunia, ia berbeza. Jadi, Kejohanan Boling Jelajah Dunia menampilkan saingan berbeza.

"Kami turut bersaing dengan lelaki, jadi ia akan berbeza. Saya memikirkan jelajah dunia dan saingan Asia," katanya.

Kini, skuad wanita negara bakal meneruskan cabaran mempersiapkan diri dalam Kejohanan Boling Jelajah Dunia di Thailand yang akan berlangsung pada 22-28 September ini.

Sementara itu, Kejohanan Boling Asia yang bakal berlangsung 20-30 Oktober depan akan menjadi medan pemilihan terkahir bagi pemain negara yang akan menggalas tanggungjawab di Manila, Filipina, dua bulan lagi.