Juara dunia 2018, Rafiq Ismail, dan Sin Li Jane bakal membawa cabaran negara dalam Sukan SEA Filipina, 30 November depan.

Pemilihan Rafiq dan Li Jane, yang merupakan anggota skuad negara yang muncul juara dunia berpasukan pada 2017, diumumkan jurulatih kebangsaan, Holloway Cheah, dalam sidang media Team Malaysia ke Sukan SEA 2019 di Majlis Sukan Negara (MSN), Bukit Jalil, hari ini.

Enam lagi pemain akan dipilih oleh Kongres Boling Tenpin Malaysia (MTBC) selepas penganjur mengumumkan jenis lorong yang bakal digunakan dalam temasya dwitahunan itu.

Pengurus pasukan, Maradona Chok, bagaimanapun, berkata persiapan untuk ke Sukan SEA 2019 sudah pun bermula walaupun senarai akhir nama atlet yang bakal ke Filipina masih belum diputuskan.

"Kami sedang mencari pasukan terbaik tapi malangnya jenis lorong masih belum diumumkan. Itu merupakan isu utama dalam sukan boling. Jadi, kami masih mencari siapa pemain terbaik untuk dipilih berdasarkan kepada jenis lorong itu," katanya.

Chok menjangkakan skuad negara bakal menerima tentangan sengit daripada pasukan lain dalam temasya di Filipina berbanding edisi di Kuala Lumpur, dua tahun lalu.

Ini disebabkan hanya lapan pemain (empat lelaki dan empat wanita) dipilih untuk beraksi dalam Sukan SEA Filipina berbanding 12 pemain (enam lelaki dan enam wanita) sebelum ini.

"Semua pasukan ada peluang seimbang dengan bilangan empat pemain wanita dan empat pemain lelaki. Pencabar kita mungkin pasukan Thailand, Indonesia dan Singapura,” katanya.

Dalam perkembangan sama, Holloway mengakui beliau perlu lebih berhati-hati dalam proses pemilihan atlet yang bakal membawa cabaran negara di Filipina.

Katanya, pemilihan Rafiq dan Li Jane yang diumumkan lebih awal berbanding pemain lain kerana kedua-dua mereka mempunyai kelebihan bermain di pelbagai permukaan lorong.

Sebelum ini, MTBC mengumumkan sasaran empat pingat emas daripada sembilan acara yang akan dipertandingkan dalam temasya itu.

Dalam edisi 2017 di Kuala Lumpur, skuad negara meraih tujuh daripada 11 pingat emas selain memenangi empat perak dan tiga gangsa.

Sementara itu, Rafiq menegaskan kelewatan Holloway menyenaraikan atlet ke Filipina tidak menjejaskan konsentrasi, sebaliknya optimis mereka mampu meraih pingat buat negara.

"Bagi Sukan SEA kali ini, pihak penganjur masih belum mengumumkan jenis permukaan lorong yang bakal digunakan di Manila, jadi saya meneruskan sesi latihan untuk menghadapi kejohanan seterusnya," katanya.

Mengenai acara berpasukan, atlet berusia berusia 22 itu berkata, "Saya tidak memiliki sebarang masalah untuk bergandingan dengan mana-mana pemain untuk acara berpasukan kerana skuad boling tenpin seperti satu keluarga yang besar dan kami sentiasa akan berusaha menampilkan yang terbaik."

-- BERNAMA

Imej: Malaysia Bowling