Hasrat pemain boling tenpin negara, Siti Safiyah Amirah Abdul Rahman, untuk membutirkan kilauan emas terakhir di Starmall EDSA-Shaw, Manila tidak kesampaian apabila terkandas dalam final acara stepladder hari ini.

Dia menjadi wakil tunggal negara dalam acara itu selepas menduduki tempat kedua acara masters wanita dengan 3,515 jatuhan pin.

Siti Safiyah Amirah mengekalkan ketekalannya dalam separuh akhir stepladder untuk menewaskan pemain Singapura, Shayna Ng, untuk menempa laluan berdepan seorang lagi lawan dari negara itu, New Hui Fen.

Aksi dalam final berlangsung sengit sehingga diheret ke penentuan 'sudden death' sebelum wakil negara itu akur meraih perak selepas tewas 194-213.

"Dari semalam, saya telah berusaha untuk meningkatkan jumlah jatuhan pin dan apabila melangkah ke final, saya mahukan pingat emas tetapi gagal," katanya.

Jurulatih negara, Holloway Cheah, menambah: "Ini merupakan pertembungan yang sengit, lawan Safiyah dari Singapura itu memerlukan strike untuk menang dan dia dapat melakukannya."

Sementara itu, hasrat skuad lelaki negara untuk menambah satu lagi pingat emas juga tidak kesampaian.

Malaysia memiliki empat wakil dalam acara masters, iaitu Rafiq Ismail, Tun Ameerul Luqman Al-Hakim Tun Hasnul Azam, Ahmad Muaz Fishol dan Timmy Tan.

Bagaimanapun, hanya Ahmad Muaz mara ke acara stepladder sebelum menamatkannya di tempat keempat.

"Saya agak terkilan kerana sukar untuk melakukan balingan cemerlang tetapi telah melakukan yang terbaik hari ini," katanya.