Tiga wakil boling padang negara layak ke final Sukan SEA yang menyaksikan pemain berpasangan wanita, Emma Firyana Saroji, menganggap keadaan padang tidak rata bukan lagi penghalang buat mereka untuk mencapai sasaran lima pingat emas.

Skuad boling padang mengatasi masalah padang di Clark City Friendship Gate itu yang tidak rata apabila mendominasi saingan peringkat liga sepusingan dengan menewaskan Filipina 18-14, diikuti Singapura 16-10 hari ini, untuk mara ke pusingan akhir esok.

Selain acara berpasangan wanita, Malaysia turut layak ke final dalam empat sepasukan wanita dan tiga sepasukan lelaki.

Ia membuktikan pemain negara berjaya menyesuaikan diri dengan keadaan padang yang tidak rata.

Emma menghuraikan: "Pada awalnya kami agak tercari-cari (rentak) kerana keadaan padang seperti ini.

"Tetapi saya berjaya mendapatkan rentak.

"Kami perlu memasukkan satu bola terlebih dahulu sebelum memikirkan perancangan yang seterusnya.

"Jadi, menerusi penilaian aksi hari ini, kami perlu melakukannya lebih awal daripada pihak lawan, kalau tidak agak payah," katanya.

Skuad tiga sepasukan lelaki negara juga boleh menarik nafas lega apabila layak ke final dengan baki satu perlawanan peringkat liga sepusingan apabila menewaskan Thailand dan Filipina.

"Kami buat sehabis baik dan Alhamdulillah mara ke final.

"Kami hanya menunggu aksi hari esok sahaja dan sudah pun membuat persediaan.

"Kami mahu melakukan yang lebih baik lagi," kata salah seorang trio negara, Mohd Fairuz Abd Jabal.