Skuad boling padang terpaksa melakukan rombakan apabila 12 daripada 19 atlet negara perlu bertukar acara selepas tuan rumah Sukan SEA 2019, Filipina, mengumumkan perubahan venue yang akan menggunakan rumput asli di Lot CDC, Clark, 10 hari sebelum temasya bermula.

Ia meningkatkan cabaran buat skuad negara yang baru pulang dari Pattaya, Thailand, dalam usaha menyesuaikan diri dengan padang rumput jenis lain.

"Ia tidak akan menjadi masalah buat kami.

"Berdasarkan latihan dan kem-kem yang telah kami jalani, aksi kami bakal menjadi lebih mantap," kata pemain lelaki negara, Fairul Izwan Abd Muin, ketika ditemui dalam Perhimpunan Akhir Kontinjen Sukan SEA negara di Bangi, hari ini.

Sementara itu, pemain wanita negara, Emma Firyana Saroji, pula mengulas: "Sebelum ini saya bermain dalam acara perseorangan tetapi kini beralih kepada acara berpasangan.

"Tiada masalah buat saya kerana saya juga pernah bergandingan dengan Siti Zalina Ahmad."

Boling padang pada awalnya dijadualkan berlangsung di Bandaraya Global Clark.

Namun, ia bukan halangan buat skuad kendalian Zuraidi Puteh itu untuk kekal dengan sasaran lima daripada enam emas yang ditawarkan.

"Kami mempertaruhkan pemain berpengalaman seperti Fairul Izwan bagi memberi panduan kepada pemain muda yang didapati berdepan kesukaran untuk menyesuaikan diri dengan padang baru yang agak berat, ia seperti padang bola," kata jurulatih itu.