Skuad boling padang negara sedia menggegar dalam saingan Sukan SEA Filipina walaupun terdapat perubahan venue di saat-saat akhir dalam temasya dwitahunan itu.

Skuad kebangsaan berhasrat untuk terus mendominasi Asia Tenggara serta membuktikan kemampuan meraih pingat emas ketika saingan di luar Malaysia sebaik sahaja tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Ninoy Aquino, Manila hari ini.

Walaupun terdapat perubahan venue di saat-saat akhir, ketua jurulatih negara, Zuraidi Puteh, optimis pengalaman dan persiapan anak buahnya mampu menghadapi apa jua cabaran yang akan tiba.

"Itulah hasrat kami, untuk mencipta kejayaan di luar Kuala Lumpur selepas sebelum ini hanya cemerlang di bumi sendiri. Kami akan buktikan kami boleh di luar Kuala Lumpur," katanya.

Barisan atlet yang disenaraikan bagi merealisasikan impian skuad negara juga yakin mampu mengharungi cabaran yang bakal dihadapi di Filipina.

"Saya sebagai atlet senior dan kapten pasukan mengakui tugas agak berat. Kami akan cuba yang terbaik," kata atlet lelaki kebangsaan, Fairul Izwan Abdul Muin.

"Daripada segi permainan dan perang psikologi, kami sudah diingatkan agar bersedia," tambah atlet wanita negara, Siti Zalina Ahmad.