Atlet boling padang negara, Siti Zalina Ahmad, terkejut dengan gelanggang Sukan SEA Filipina yang dilihat seperti padang bola sepak, sekali gus meningkatkan cabaran buat Malaysia memburu sasaran lima pingat emas.

Rumput di gelanggang itu baru ditanam 40 hari lalu. Ia belum cukup matang tetapi pemain negara tiada pilihan kerana penganjur menolak cadangan menggunakan rumput tiruan.

Situasi itu meningkatkan cabaran buat Malaysia mengulangi dominasi meraih tujuh daripada lapan emas di Kuala Lumpur dua tahun lalu.

"Agak menarik saingan kali ini,. Walaupun perjalanan bola tidak konsisten, kami akan cuba untuk memperbaikinya dalam beberapa baki sesi latihan sebelum saingan bermula," kata Siti Zalina.

Apa yang menarik, Malaysia sudah menyesuaikan diri dengan berlatih di Thailand dan padang bola sepak Majlis Sukan Negara (MSN).

"Ketika kami berlatih di China, ia merupakan padang yang hampir sama. Permukaan yang kurang rata mengehadkan kami untuk melakukan kemahiran dengan sepenuhnya," kata atlet negara, Muhammad Soufi Rusli.

Ketua jurulatih skuad negara, Zuraidi Puteh, pula berkata, "Atlet-atlet Malaysia memiliki pengalaman yang luas dan mereka sudah sedia untuk menghadapi cabaran dan halangan seperti ini."

Pencapaian skuad boling padang negara dalam Sukan SEA:

2017: 7 emas
2015: 3 emas
2007: 4 emas
2005: 3 emas