Atlet boling padang negara, Fairul Izwan Abdul Muin, menganggap Kejohanan Antarabangsa Kuala Lumpur merupakan pentas latihan terbaik untuk memperbaiki keserasian pemain sebelum menghadapi Sukan Sea Filipina, November depan.

Keserasian menjadi kepentingan utama bagi kem boling padang negara setelah Filipina tidak menyenaraikan acara individu dalam Sukan SEA edisi kali ini.

Walaupun sedang bertanding dalam Kejohanan Antarabangsa Kuala Lumpur, Fairul Izwan meletakkan kemenangan menjadi elemen kedua tatkala dia menyifatkan keserasian antara pemain sebagai perkara paling penting.

"Walaupun kemungkinan besar ini bukan acara saya, kombinasi antara pemain adalah perkara yang penting," katanya.

Dia juga menambah mereka masih mempunyai banyak perkara lain yang harus diperbaiki menjelang Sukan SEA, penghujung tahun ini setelah hanya mampu meraih kemenangan tipis ke atas Hong Kong 14-10 dalam aksi di Kuala Lumpur, pagi tadi.

"Aksi sebentar tadi, kami berdepan Hong Kong dan menang 14-10. Pada awalnya, kami berempat beraksi dengan baik, mendahului 11-0 tetapi lawan bangkit. Alhamdulillah kami dapat menyekat kemaraan mereka."

Fairul Izwan mengetuai pasukan Malaysia A yang dibarisi Zulhilmie Redzuan, Daeng Dhadry serta Izzat Zulkepli dan setakat ini, mereka sudah memperoleh tiga kemenangan dan satu kekalahan bagi aksi Kumpulan A.