Skuad boling padang negara meraih pingat emas hatrik menerusi acara empat berpasukan dan berpasangan wanita serta tiga berpasukan lelaki dalam Sukan SEA Filipina hari ini.

Skuad empat berpasukan wanita negara, yang menyaksikan Siti Zalina Ahmad beraksi di samping tiga pemain muda, Afiqah Dayana Budiman, Nur Ain Nabilah Tarmizi dan Syafiqah Haidar Afif Abdul Rahman, terlebih dahulu menyumbang pingat emas selepas menundukkan tuan rumah, Filipina, 17-6.

"Ketika berjumpa mereka dalam permainan pertama lagi, kami sekadar mahu ambil rentak sambil menguji kekuatan lawan kerana sedar masih ada perlawanan yang lebih penting lagi untuk dimenangi," kata tonggak empat berpasukan wanita, Nur Ain Nabilah.

Selang beberapa minit kemudian, wakil tiga berpasukan lelaki negara yang ditunjangi Izzat Shameer Dzulkeple, Mohamed Firdaus Abd Jabal dan Mohammad Syamil Syazwan Ramli turut menewaskan peserta tuan rumah 14-8.

"Pada mulanya kami agak tercari-cari rentak disebabkan keadaan padang seperti ini, kami tidak boleh jangkakan persembahan yang sempurna kerana masing--masing bermain di atas keadaan padang yang sama.

"Kami berbincang dan sedar perlu untuk mendapatkan mata terlebih dahulu," kata Fairus.

Kemenangan itu sangat bermakna buat mereka memandangkan tuan rumah terlebih dahulu mendahului mereka pada awal perlawanan.

Pingat emas ketiga skuad boling padang kemudian diraih menerusi acara berpasangan wanita menerusi Emma Firyana Saroji dan Nurul Alyani Jamil yang menyekat hasrat Brunei 21-14 untuk menjuarai temasya edisi ke-30 itu.

"Pada mulanya kami agak mencari-cari rentak dengan keadaan padang seperti ini.

"Setelah mendapat 2 ends, sejak itu kami memotong semangat mereka," kata Emma Firyana.

Ternyata, keadaan permukaan padang tidak rata tidak menjejaskan persembahan skuad boling negara yang turut menyumbang satu gangsa menerusi acara berpasangan lelaki.