Kapten skuad boling padang negara, Fairul Izwan Abd Muin, berkata kemenangan dalam aksi final acara empat sepasukan lelaki akan menjadi penyelamat kempen mereka selepas sasaran memburu lima emas Sukan SEA tidak kesampaian.

Malaysia akan menentang Brunei dalam final empat sepasukan lelaki selepas anak buah Zuraidi Puteh itu menewaskan Thailand 19-16 dalam aksi terakhir round robin tatkala skuad yang turut diperkuatkan Muhammad Idham Amin, Daeng Dha Dry Da Hasry dan Zulhilmie Redzuan itu mendahului sepanjang 15 end.

Pujian juga buat pemain berusia 19 tahun, Muhammad Idham, yang mengatasi rasa gugup untuk memastikan Malaysia mencatat kemenangan keempat peringkat round robin, sekali gus mara ke final yang dijadualkan esok.

"Walaupun kami berjaya mengatasi Brunei dalam aksi sebelum ini, ia tetap bukan perlawanan mudah. Mereka tetap pasukan yang hebat," kata Fairul Izwan.

"Cuaca memang dalam keadaan yang buruk tetapi kami sudah lakukan persediaan daripada segi mental dan fizikal. Insya-Allah kami akan lakukan yang terbaik," tambah Zulhilmie.

Skuad empat sepasukan lelaki kebangsaan menjadi harapan emas keempat boling padang selepas kejayaan berpasangan lelaki, wanita dan empat sepasukan wanita.