Pingat emas boling padang empat sepasukan lelaki saingan Sukan SEA Ke-30 cukup bermakna untuk atlet muda, Muhammad Idham Amin Ramlan, yang kehilangan ibu dan abang ekoran terbabit kemalangan ketika menghantarnya berlatih lima tahun lalu.

Selepas menewaskan Brunei 24-6 dalam aksi final, skuad empat sepasukan lelaki menghadiahkan kejayaan itu kepada Idham Amin yang baru buat penampilan sulung temasya.

Atlet berusia 19 tahun itu kehilangan ibu dan abang ekoran kemalangan jalan raya ketika dalam perjalanan menghantarnya berlatih di Terengganu pada 2014.

Dia mengalami kecederaan patah kaki dalam peristiwa itu dan meraih emas Sukan Malaysia (Sukma) Perak, tahun lalu sebelum menggenggam emas Sukan SEA Filipina itu.

"Saya juga terlibat dalam kemalangan itu dan mengalami kecederaan patah kaki.

"Saya banyak menerima nasihat daripada keluarga dan rakan-rakan untuk berjuang dan bangkit dalam sukan yang diceburi," kata Idham Amin.

Pujian buat tiga lagi rakan sepasukan, Fairul Izwan Abd Muin, Daeng Dha Dry Da Hasry dan Zulhilmie Redzuan yang cemerlang mendahului sejak end pertama.

Malah, skuad negara menamatkan cabaran hanya dalam 13 end.

"Selagi khidmat dan pencapaian dapat dipamerkan, saya akan terus memberikan yang terbaik demi lencana di dada," kata Fairul Izwan.

Di samping itu, trio sepasukan wanita negara memastikan semua atlet boling padang membawa pulang pingat dalam temasya dwitahunan berkenaan apabila menewaskan Brunei, 17-15 dalam penentuan pingat gangsa.

Auni Fathiah Kamis, Zuraini Khalid dan Azlina Arshad, bagaimanapun, terpaksa berhempas-pulas sebelum mengesahkan kemenangan dalam 18 end.

"Ketika rakan sepasukan memberikan sokongan, ia melonjakkan semangat kami bagi memastikan pingat gangsa berjaya diraih," kata Auni.

Malaysia muncul juara keseluruhan boling padang apabila meraih empat daripada enam emas yang ditawarkan.

Bagaimanapun, sasaran lima emas gagal dicapai ekoran masalah padang tidak rata.

"Semangat yang ditonjolkan dan tidak merungut terhadap kesukaran yang dihadapi adalah sesuatu yang harus diteladani untuk bergelar seorang juara," kata ketua jurulatih negara, Zuraidi Puteh.