Tugas mencabar menanti skuad bola tampar pantai lelaki dan wanita negara di Subic untuk aksi pembukaan Sukan SEA Manila 2019 esok.

Mereka bukan sahaja perlu berentap dengan juara bertahan bagi kategori masing-masing, malah skuad negara diuji dengan keadaan pasir yang berlainan berbanding di Malaysia.

"Permukaan pasir lebih lembut di sini dan kami perlu menyesuaikan diri secepat mungkin sebelum saingan bermula," kata atlet negara, Raja Nazmi Saifuddin Raja Hussin.

"Selepas bertemu Thailand, kami akan berusaha mengenal pasti setiap kelemahan dan kesilapan yang dilakukan sebelum menghadapi lawan yang mampu kami atasi," kata atlet negara, Tasha Mae.

Tatkala faktor penyesuaian gelanggang bakal menjadi penghalang, pemain negara kekal positif untuk membuat kejutan ke atas lawan masing-masing.

Skuad lelaki negara akan membuka saingan menentang Indonesia manakala skuad wanita bertemu Thailand dalam acara yang kali terakhir dipertandingkan di Palembang lapan tahun lalu.