Pemain skuad bola tampar pantai wanita negara, Tasha Mae, mahu menjadikan Sukan SEA Filipina berbaloi buatnya yang menangguhkan pelajaran demi memburu pingat untuk kontinjen negara.

Meskipun sebelum ini pernah membuat penampilan dalam skuad bola tampar, Tasha menegaskan ia sangat berbeza dengan beraksi di pantai dan memerlukan masa untuk menyesuaikan diri.

Skuad negara yang baru menjalani latihan sejak awal tahun ini enggan mensia-siakan baki tempoh masa yang ada untuk meningkatkan keserasian dan memperbaiki kelemahan pasukan.

Bagaimanapun, pemain berusia 18 tahun itu masih menyasarkan sekurang-kurangnya pingat gangsa di Filipina untuk menjadikan penampilan pertamanya bersama skuad negara lebih manis.

"Sekarang kami sudah banyak meningkat. Sejak bulan lalu, ada jurulatih dari Thailand datang membantu dan semua tahu Thailand merupakan pasukan yang mendominasi," katanya.

Ketika ini, skuad negara masih gagal mencari kemenangan dalam kejohanan yang disertai, namun Tasha berharap baki satu saingan yang akan berlangsung di Singapura sebelum cabaran Sukan SEA dapat membantu mereka.

"Sebenarnya, kami baru bermula tahun ini. Kami banyak melalui aksi sebagai pendedahan. Tiada sasaran melainkan mendapatkan pendedahan buat pasukan."