"Saya tidak mahu jejak pasir lagi," kata pemain bola tampar pantai negara, Rafi Asruki Nordin, selepas gagal membantu Malaysia layak ke separuh akhir acara berpasukan lelaki dalam Sukan SEA Filipina hari ini.

Skuad negara turun menentang pasukan tuan rumah, Filipina, dengan misi wajib menang setelah tewas kepada Indonesia dalam aksi pertama kelmarin.

Malaysia mengekalkan gandingan Raja Nazmi Saifuddin Raja Hussin dan Jackson Ting sebagai beregu pertama tetapi pasangan itu melepaskan peluang sebelum tewas tipis 19-21, 20-22.

Kekalahan itu memberikan tekanan kepada pasangan kedua, Rafi Asruki-Aizzat Zokri, yang tunduk mudah 14-21, 12-21.

Kekalahan itu menyaksikan skuad negara terlepas peluang untuk merebut pingat kerana sudah sah gagal ke separuh akhir biarpun masih berbaki satu perlawanan menentang Timor Leste.

"Untuk pasukan kebangsaan, saya akan keluar selepas Sukan SEA ini.

"Saya tidak akan jejak pasir lagi," katanya.

"Untuk dapat pingat itu memang cerah jika kami menang hari ini.

"Kami tidak memanfaatkan peluang," tambah Raja Nazmi Saifuddin pula.