Pemain bola tampar pantai negara, Rafi Asruki Nordin, menyifatkan kekalahan kepada Indonesia dalam perlawanan pertama Sukan SEA Filipina hari ini sebagai pengorbanan yang terpaksa dilakukan demi bertemu tuan rumah, Filipina, Ahad ini.

Skuad bola tampar pantai lelaki negara membuka kempen dengan menentang Indonesia dalam acara berpasukan.

Menyedari tugas sukar untuk menewaskan lawan itu, pasangan negara hanya turun beraksi untuk mendapatkan momentum permainan.

Ia sebagai persediaan untuk menentang Filipina dalam perlawanan kedua memandangkan ia merupakan misi wajib menang.

"Dalam perlawanan hari ini, kami hanya mahu melakukan yang terbaik sahaja.

"Kami mahu fokus kepada perlawanan menentang Filipina, Ahad ini untuk ke separuh akhir," katanya.

Rafi Asruki, yang bergandingan dengan Aizzat Zokri, tewas 19-21, 18-21 kepada pasangan Indonesia, Gilang Ramadhan-Danangsyah Pribadi.

Sebelum itu, satu lagi pasangan negara, Raja Nazmi Saifuddin Raja Hussin-Jackson Ting, turut tunduk 8-21, 15-21 kepada Ade Rachmawan-Mohamad Ashfiya.

"Saya dan pasangan mungkin masih tidak biasa dengan pasir," kata Raja Nazmi Saifuddin.

"Tetapi pada penghujung perlawanan, kami mula mendapat rentak.

"Insya-Allah, kami akan mencuba yang terbaik ketika menentang Filipina," katanya.