Pemain bola tampar pantai wanita negara, Tasha Mae, lega dapat menyelamatkan maruah skuad bola tampar pantai negara dalam Sukan SEA Filipina menerusi kemenangan ke atas Singapura hari ini.

Selepas suram dengan kekalahan demi kekalahan membabitkan acara berpasukan lelaki dan wanita, skuad bola tampar pantai negara akhirnya mengkuir senyuman di Subic.

Ia susulan kejayaan skuad negara menewaskan Singapura 4-0 dalam perlawanan ketiga peringkat liga sepusingan.

Tasha dan Tan Hsi Yan memberi kemenangan pertama 21-13, 21-12 sebelum Shu Woon Joo dan Sin Xin Foo menyumbang kemenangan kedua 21-18, 21-13.

"Ini perlawanan terbaik yang ditampilkan kami setakat ini, kami sudah melakukan apa yang termampu dan keputusan perlawanan ini juga memuaskan," kata Hsi Yan.

Tasha pula berjanji akan mengerah keringatnya dalam baki dua perlawanan dengan berkata: "Kami akan cuba berikan yang terbaik dan berjuang sehingga mata terakhir."

Peluang skuad wanita negara untuk meraih pingat akan ditentukan dalam dua perlawanan seterusnya, iaitu bertemu Vietnam dan Indonesia.