Hasrat rakyat Malaysia untuk melihat Wan Kuzain Wan Kamal menyarung jersi negara tidak kesampaian apabila pemain yang berpangkalan di Amerika Syarikat itu terpaksa digugurkan daripada skuad B-22 negara ke Sukan SEA Filipina gara-gara masalah dokumentasi.

Itu antara kejutan terbesar daripada pengumuman senarai akhir 20 pemain negara ke Sukan SEA Filipina hari ini.

Ia berpunca daripada masalah dokumentasi pemain Sporting Kansas City itu tidak dapat diselesaikan sebelum tarikh akhir pendaftaran pemain.

Situasi itu tampak memberi tamparan hebat kepada pengendali pasukan, Datuk Ong Kim Swee, selepas beliau kehilangan khidmat Safawi Rasid.

Nama besar lain yang turut digugurkan ialah penyerang, Jafri Firdaus Chew, ekoran kecederaan.

Bintang dalam pembikinan, Luqman Hakim Shamsudin, pula antara tiga pemain paling muda tersenarai selain Harith Haiqal Adam Afkar dan Umar Hakeem Suhar Rezwan.

Apa pun, Kim Swee masih mempunyai pemain utama lain, iaitu Haziq Nadzli, Syamer Kutty Abba, Akhyar Rashid, Adam Nor Azlin, Danial Amier Norhisham, Irfan Zakaria dan Syahmi Safari yang beraksi dalam temasya dwitahunan itu dua tahun lalu.

Tetapi kali ini, Adam dan Irfan menyertai skuad berkenaan selaku pemain yang mengisi dua kuota pemain lebih umur 22 tahun.

Ini merupakan temasya Sukan SEA kelima berturut-turut buat Kim Swee sejak edisi 2011 di Palembang, Indonesia.

Sementara itu, bekas jurulatih negara, B. Sathianathan, menegaskan skuad B-22 tahun negara kali ini adalah yang terkuat berbanding beberapa edisi lalu.

Menegaskan kualiti berbeza yang dipamerkan rata-rata pemain, Sathianathan bagaimanapun mengakui ketiadaaan Pemain Paling Bernilai (MVP) 2019, Safawi, dirasai.

"Ini merupakan pasukan yang paling mantap berbanding edisi Sukan SEA sebelum ini. Namun, ketiadaan Safawi sedikit menggugat jentera serangan pasukan. Dia memiliki sentuhan yang istimewa dan mampu menjaringkan gol," katanya lagi.