Bola sepak: Vietnam atasi Indonesia, bawa pulang ibu segala pingat

Oleh Penulis Jemputan 10 Disember 2019 5240
Bola sepak: Vietnam atasi Indonesia, bawa pulang ibu segala pingat
VIETNAM 3 INDONESIA 0

Vietnam memenangi pingat emas bola sepak Sukan SEA Ke-30 Filipina buat julung-julung kalinya selepas mencatat kemenangan selesa 3-0 ke atas Indonesia dalam perlawanan akhhir di Stadium Memorial Rizal, sebentar tadi.


Vietnam membuka tirai jaringan ketika babak pertama berbaki enam minit apabila sepakan percuma Do Hung Dung dari sebelah kiri ditanduk masuk Doan Van Hau.

Hung Dung kemudian meletakkan nama dalam senarai penjaring pada minit ke-59, sekali gus menggandakan pendahuluan buat pasukannya setelah bijak menyambut bola yang gagal dikeluarkan pertahanan lawan untuk meledakkan rembatan rendah ke penjuru gawang.

Walaupun cuba bangkit, Indonesia kendalian Indra Sjafri dilihat sukar untuk merapatkan jurang, dengan penyerang dan penjaring terbanyaknya dengan lapan gol, Osvaldo Haay, tidak diberikan banyak ruang untuk bergerak

Sebaliknya, pada minit ke-73, kemenangan seolah-olah sah menjadi milik Vietnam setelah sepakan percuma Nguyen Hoang Duc yang melencong hanya mampu ditepis penjaga gol Indonesia, Naeo Argawinata, ke arah Van Hau yang tidak melakukan kesilapan untuk menyudahkan peluang mudah itu bagi melengkapkan kemenangan 3-0 buat Vietnam.

Kemenangan Vietnam, bagaimanapun, sedikit tercemar apabila ketua jurulatihnya, Park Hang-seo, dilayangkan kad merah pada minit ke-77 kerana berterusan mempertikaikan keputusan pengadil di sebalik sudah diberikan amaran lisan.

Sumber: Foxsportsasia
 

Tentang Penulis

Penulis Jemputan

Komen