Pemain muda negara, Umar Hakeem Suhar Redzwan, semakin selesa menjadi tunjang utama untuk memperkuatkan skuad Sukan SEA menjelang aksi kedua saingan bola sepak menentang tuan rumah, Filipina, malam ini.

Diberi peluang dalam kesebelasan utama ketika aksi pembukaan bertemu Myanmar umpama langkah kanan buat pemain berusia 18 tahun itu.

Prestasi pemain kelahiran Johor itu ternyata berjaya membuka mata ramai betapa kelibat tiga pemain muda negara dalam skuad B-22 kali ini mampu diharap.

Umar mahu terus menabur bakti sambil mangharapkan kelibatnya sekali lagi diberi kepercayaan oleh pengendali, Datuk Ong Kim Swee, dalam usaha meraih tiga mata malam ini.

"Setakat ini, semua persiapan berjalan lancar dan semua pemain sedia. Kami sudah menyaksikan permainan Filipina, jadi saya rasa jurulatih tahu bagaimana untuk hadapi mereka. Saya yakin kemenangan akan menjadi milik Malaysia, insya-Allah," katanya.

Bagaimanapun, dia menolak sebarang pujian keterlaluan yang turut membandingkan keberkesanannya di atas padang dengan penyerang sensasi, Luqman Hakim Shamsuddin.

"Saya rasa semua pemain sama. Dalam skuad B-19, ramai pemain berkualiti, jadi dalam pasukan B-22, lebih banyak. Tugas saya hanya membantu pasukan," tambah Umar.