Tiada tiket percuma untuk bersama skuad B-22 negara dalam misi Sukan SEA Filipina hujung bulan ini -- sekalipun seseorang itu memiliki bakat luar biasa seperti pemain remaja sensasi, Luqman Hakim Shamsudin.

Keterujaan melihat Luqman Hakim dalam temasya dwitahunan itu berupaya menjadi realiti memandangkan pemain yang bakal menyertai kelab KV Kortrijk itu ada dalam senarai pendek pengendali, Datuk Ong Kim Swee.

Bagaimanapun, dia hanya akan melaporkan diri bagi kem latihan pusat bersama empat lagi pemain pada Rabu depan sejurus selesai kempen kelayakan Kejohanan AFC B-19 2020 di Phnom Penh, Kemboja.

Bagi Kim Swee, dia memerlukan pemain yang tidak hanya bersandarkan kepada bakat semula jadi semata-mata dalam usahanya membentuk skuad ampuh ke Filipina.

"Luqman Hakim belum pernah bersama pasukan yang melebihi umur 18 tahun.

"Jurang umur di antara 18 dan 22 tahun adalah empat tahun, namun saya tetap akan memberi peluang kepadanya untuk bersama pasukan ini sebelum saya membuat keputusan.

"Sama ada dia akan dibawa bersama untuk ke Manila kelak bergantung kepada prestasinya dalam kempen kelayakan Kejohanan AFC B-19 dan sesi latihan di Kuala Lumpur," katanya dalam sesi latihan di Wisma FAM, Kelana Jaya, semalam.

Dalam masa sama, nama Wan Kuzain Wan Kamal terus meniti di bibir pengendali berusia 49 tahun itu sebagai prospek untuk dibawa ke Filipina di sebalik kekangan tertentu terhadap pemain yang berpangkalan di Amerika Syarikat (AS) itu dalam usaha menyarung jersi negara.

"Saya sedang berkomunikasi dengannya dalam mencari jalan untuk membawanya bermain untuk Malaysia dan saya tahu dia mempunyai minat yang mendalam untuk mewakili kami.

"Saya akan cuba mencari jalan penyelesaiannya dalam masa terdekat kerana kempen Sukan SEA sudah tidak lama lagi," katanya.

Skuad negara akan membuka kempen dengan membuat perhitungan dengan Myanmar pada 25 November ini sementara skuad wanita pula akan menentang tuan rumah, Filipina, pada 29 November.