Masih ada sinar buat skuad B-22 negara untuk mengintai slot separuh akhir dalam Sukan SEA Ke-30 di Filipina dengan berbaki dua lagi perlawanan peringkat Kumpulan A.

Namun, tugas berat menanti skuad bimbingan Datuk Ong Kim Swee itu kerana mereka perlu menang dua lagi perlawanan, iaitu menentang Timor Leste, Isnin ini dan Kemboja (Rabu ini).

Skuad negara memilih laluan sukar apabila tewas kepada tuan rumah 0-1 dalam perlawanan kedua malam tadi manakala mencatat keputusan seri 1-1 dengan Myanmar dalam perlawanan pembukaan, Isnin lalu.

Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Datuk Hamidin Mohd Amin, menggesa jurulatih dan barisan pemain itu supaya kembali meningkatkan prestasi mereka sekiranya mahu terus kekal dalam saingan temasya dwitahunan itu.

Mengakui agak kecewa dengan persembahan yang dipamerkan skuad Harimau Muda itu ketika menentang Filipina, beliau, bagaimanapun, tetap menaruh keyakinan terhadap kebangkitan skuad negara dalam baki dua perlawanan itu.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas pelancaran Kejohanan Bola Sepak Antarabangsa Junior RSC-Datuk Chu Ah Nge Ke-15 di Kuala Lumpur, hari ini.

Malaysia kini menghuni tangga keempat dengan satu mata manakala Myanmar mengungguli kumpulan A dengan tujuh mata, diikuti Kemboja (empat mata), Filipina (empat mata) dan Timor Leste di kedudukan kelima tanpa sebarang mata.

Hanya dua pasukan teratas selepas saingan peringkat kumpulan layak ke separuh akhir.

-- BERNAMA