"Penutup paling mengecewakan" mungkin gambaran terbaik untuk jurulatih skuad Sukan SEA negara, Datuk Ong Kim Swee, apabila penampilan terakhirnya dalam saingan itu berakhir dengan kekalahan.

Sebaik tewas 1-0 di tangan Filipina, pengendali itu mengumumkan, edisi 2019 adalah penampilan terakhirnya dalam Sukan SEA.

Ketika itu, ia masih mengundang harapan untuk melihat kebangkitan semula skuad negara selepas hambar dalam dua perlawanan awal di Stadium Memorial Rizal.

Namun, aksi semalam menoktahkan segalanya, dengan Kim Swee akur penutup kelibatnya dalam Sukan SEA tidak semanis yang diharapkannya.

"Seperti apa yang saya katakan sebelum ini, setiap pesaing Asia Tenggara mula mempamerkan peningkatan dan anda boleh dihukum jika mengambil mudah," kata Kim Swee.

Sudah pasti suasana lebih manis sedang dirasai pengendali Kemboja, Felix Agustin, merujuk kepada aksi bertenaga yang ditampilkan anak buahnya untuk meloloskan diri ke separuh akhir Sukan SEA 2019.

"Kami sentiasa mahu berkembang dalam setiap perlawanan. Tuah memihak Kemboja kali ini dan saya menyedari Malaysia adalah pasukan yang hebat," kata Agustin.