"Saya akan bangkit."

Itu semangat juang yang dilaungkan penyerang muda, Akhyar Rashid, untuk kembali ke prestasi asal menjelang kempen pembukaan Kumpulan A menentang Myanmar dalam Sukan SEA Filipina petang ini.

Aksi penyerang berusia 20 tahun berkenaan tenggelam dalam kempen Harimau Malaya dalam kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023.

Disenaraikan oleh Datuk Ong Kim Swee untuk membantu skuad B-22 dalam temasya edisi ke-30 itu, pemain lincah itu tidak mahu melepaskan peluang bagi membuktikan bahawa dia masih lagi antara tonggak yang relevan dalam skuad kebangsaan.

Tiada istilah selesa buat Akhyar untuk merebut kesebelasan utama biarpun boleh dianggap pemain dalam skuad senior memandangkan beberapa pemain muda masih boleh mencabar posisinya.

"Saya ingin membuktikan sesuatu bersama skuad B-23 bahawa saya masih berbakat," kata pemain kelahiran Kedah itu.

Antara pemain senior yang turut disenaraikan Kim Swee untuk memperkuatkan skuad muda dalam kempen di Manila ialah pertahanan kanan, Syahmi Safari.

"Tiada istilah pemain senior mahupun remaja dalam skuad ini.

"Wujud saingan yang sihat dalam pasukan ini, baik dalam latihan mahupun perlawanan.

"Tidak kira siapa pun yang akan diturunkan, masing-masing akan buat yang terbaik demi pasukan," kata Syahmi.